Saturday, May 22, 2010

kecuaian bersama.......???

Semalam ada satu berita tentang seorang budak darjah tiga mati dihempap sinki bilik air.Apabila saya membaca berita itu saya agak keliru kerana yang cedera ialah kaki kanannya tetapi malang bagi kanak-kanak itu meninggal apabila dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan.Menurut ibunya beliau telah membawa anaknya ke klinik 1Malaysia sebelum dibawa dengan ambulans ke PPUM. Pihak keluarga mangsa tidak berpuashati dengan layanan pihak terbabit dan menganggapnya satu kecuaian hingga anaknya meninggal.

Saya tidak mahu menyentuh tentang kecuaian kerana sebelum ini telah banyak kes-kes keluarga menyaman pihak Kementerian Kesihatan kerana kecuaian staf mereka.Tapi saya lebih tertarik untuk melihat kemalangan-kemalangan di rumah yang berlaku pada kanak-kanak.

Adakah rumah kita benar-benar selamat kepada anak-anak kita?

Ramai tidak prihatin soal keselamatan di rumah terutama bagi anak kecil berusia 2 - 4 tahun. Perlu disedari, kemalangan di rumah juga boleh mengancam nyawa anak dan membawa kecacatan yang terpaksa ditanggung seumur hidup.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, 25 peratus kemalangan di rumah membabitkan kemalangan kecil seperti luka, terseliuh dan bengkak; 10 peratus mengalami kemalangan perlu dirawat seperti patah, luka besar yang perlu jahitan, disengat serangga berbisa dan melecur. Sejumlah lima peratus mengalami kemalangan teruk yang memerlukan mereka dimasukkan ke hospital seperti terbakar, jatuh yang mencederakan kepala dan satu peratus lagi cacat seumur hidup.Kemalangan pula berlaku di ruang tamu dan ruang makan, di ruang legar,di luar rumah,di dapur dan di bilik mandi.

Mungkin sesetengah dari kita menganggap dapur adalah tempat paling tidak selamat tetapi sebenarnya kita juga perlu lebih kerap memantau tempat-tempat lain dalam rumah kita, umpamanya bilik air.Sinki umpamanya perlulah kita lihat adakah ianya masih kukuh dan sebagainya.

Kita mungkin sibuk dengan tugas namun kadangkala kita boleh meluangkan masa memantau peralatan-peralatan di dalam rumah demi keselamatan.


No comments: