Thursday, October 15, 2009

batas dan keperluan

Makanya,beberapa hari lagi akan berakhirlah Syawal.Ramai yang telah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.Antara batasan-batasan merayakan Aidilfitri yang perlu dijaga oleh seseorang muslim.Maka lumrahnya, masyarakat Malaysia mengadakan rumah terbuka. Apakah batas dan ciri-ciri rumah terbuka mengikut syariat?

Memberi makan merupakan suatu ibadah yang tinggi nilainya dalam Islam.

Antara hadis yang menunjukkan kepada galakan memberi jamuan adalah hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi yang bermaksud: "Wahai sekelian manusia, sebarkanlah salam dan berilah makan kepada orang lain, dan jalinkanlah silaturrahim serta bangkitlah bersolat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, maka kamu akan memasuki syurga tuhanmu dalam keadaan selamat".

Namun demikian antara batasan yang perlu dijaga adalah adalah hendaklah mengelakkan pembaziran, mengawal agar tiadanya percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Jemputan yang dibuat pula janganlah menafikan hak-hak si miskin menyebabkan berlakunya layanan secara double standard yang mengutamakan sikaya semata-mata.

Nabi SAW bersabda maksudnya: Seburuk-buruk makanan yang dijamu adalah makanan yang dijemput orang-orang kaya kepadanya dan ditinggalkan orang-orang miskin. Sesiapa yang melakukan demikian, maka dia telah menderhakai Allah dan rasul-Nya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selepas sebulan menjalani tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa), apakah sepatutnya akhlak dan tingkah laku umat Islam dalam kehidupan seharian?

Allah menggambarkan bandingan akhlak ini seumpama buah bagi sebatang pokok. Firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat ke 25, maksudnya: Pokok itu mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Menurut Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, Allah menggambarkan akhlak yang murni hanya akan berlaku dengan sebab akidah yang teguh seperti akar bagi pokok tersebut.

Akhlak muslim tidak akan dapat dicorak tanpa akidah yang teguh kepada Allah. Justeru ahli sunnah meletakkan empat perkara yang boleh dilakukan untuk meneguhkan pokok iman itu sekali gus membentuk akhlak yang baik.

Iaitulah dengan menuntut ilmu secara istiqamah, beramal dengan ilmu yang diperolehi, mengamalkan zikrullah secara istiqamah dan banyak melakukan muhasabah dan berfikir tentang nikmat Allah SWT.

Ada juga yang berpendapat takbir hari raya di Malaysia ini lemah, tak bersemangat sebab mendayu-dayu tidak seperti di negara Arab. Soalnya, apakah falsafah di sebalik takbir itu?

Takbir disyariatkan bagi memuji dan membesarkan Allah SWT di atas berbagai nikmat kurniaan-Nya.

Takbir yang disyariatkan selepas mengakhiri Ramadhan bertujuan memuji-Nya atas kesihatan dan kemampuan menjalankan ibadah puasa.

Demikian pula pada Aidiladha, takbir disyariatkan apabila muslim berjaya melaksanakan ibadah haji dari Arafah, Muzdalifah dan bermalam di Mina.

Takbir ini dilakukan sebagai manifestasi rasa syukur kerana mendapat nikmat kesihatan dan kesempatan menyempurnakan kewajipan.

Cuma bagi masyarakat nusantara kaedah melaungkan takbir banyak dipengaruhi oleh amalan budaya Melayu yang bersifat lemah lembut menyebabkan takbir dilakukan dengan lemah mendayu.

Menurut pengarang kitab Majmuk al-fatawa, semua ulama empat mazhab lebih cenderung mengatakan bahawa takbir raya hendaklah dilaungkan dengan nyaring dan lantang tanpa perlu dilagukan.

No comments: